Welcome Citizen!

Sign in to start sharing and discover the best products you can buy today!

Welcome Citizen!

Setup your account or continue reading!

Settings
trade in phone feature

Panduan Trade-In dan Jual Semula Smartphone Lama, Boleh Dapat Harga Tinggi!

Ini cara nak memaksimumkan nilai telefon lama melalui trade-in atau jual semula telefon.

Menjual atau trade-in smartphone lama bukan sekadar salah satu cara anda melepaskan peranti usang, tetapi ia sebenarnya peluang bijak untuk anda mendapatkan wang tambahan kalau nak beli telefon baharu.

Dengan pelbagai program trade-in yang tersedia di pasaran Malaysia hari ini, anda kini mempunyai lebih banyak pilihan untuk menukar peranti lama kepada wang tunai atau diskaun pembelian.

Sama ada anda ingin menaik taraf ke model flagship terkini atau sekadar mahu kurangkan e-waste demi alam sekitar, panduan dan tips ini akan bantu anda fahami langkah-langkah penting untuk anda dapatkan tawaran terbaik.


Penyunting

Hamka Rosli chevron_right

Editor untuk Edisi Bahasa Melayu di ProductNation, dengan fokus utama pada artikel berkaitan telefon pintar, gajet, dan teknologi ...

Kelebihan Trade-In vs Jual Terus

Secara umumnya, trade-in menawarkan kemudahan di mana anda hanya perlu bawa telefon lama ke kedai atau daftar secara atas talian, dan nilainya akan ditolak terus daripada harga pembelian telefon baharu.

Jenama besar seperti Apple, Samsung, dan Huawei di Malaysia kini mempunyai program rasmi trade-in yang lebih telus dan mesra pengguna.

Sebaliknya, menjual terus secara persendirian melalui platform seperti Carousell, Mudah.my atau Facebook Marketplace memberikan anda peluang untuk mendapat harga lebih tinggi.

Namun, prosesnya mungkin lebih lama dan memerlukan tenaga anda untuk ambil gambar produk, tulis deskripsi yang lengkap, dan layan pelbagai pertanyaan daripada bakal pembeli.

Jadi anda boleh pilih sama ada anda mahukan cara mudah dengan nilai yang adil, ataupun cara yang memerlukan sedikit effort dengan habuan nilai yang lebih tinggi.


Persediaan Telefon Lama

Sebelum anda menyerahkan telefon lama kepada mana-mana platform trade-in atau pembeli, beberapa langkah asas perlu diambil untuk memastikan peranti dalam keadaan terbaik dan selamat dari sebarang kebocoran data peribadi.

Pertama, lakukan sandaran (backup) data ke akaun iCloud, Google Drive, atau simpan ke storan luaran bagi memastikan tiada maklumat penting terpadam.

Setelah selesai, log keluar dari semua akaun (Apple ID atau Google Account) untuk mengelakkan sebarang sekatan aktivasi.

Langkah terakhir ialah menetapkan semula telefon kepada tetapan kilang (factory reset) melalui menu tetapan sistem.

Ini akan menghapuskan semua data peribadi dan memberi laluan kepada pemilik seterusnya untuk menggunakan peranti dengan mudah.

Selain itu, bersihkan telefon secara fizikal.

Lap skrin dan bahagian belakang dengan kain microfiber.

Periksa jika ada calar, retak, atau kerosakan fizikal yang boleh menjejaskan nilai telefon tersebut.

Fungsi asas seperti kamera, port pengecasan, butang kuasa, dan speaker juga harus diuji.

Sekiranya anda masih mempunyai kotak asal, pengecas, kabel atau aksesori lain, ia boleh menambahkan lagi nilai tawaran.

Secara ringkasnya, ikut langkah persediaan ini:

  • Sandarkan data (backup)

  • Log keluar dari semua akaun

  • Tetapkan semula telefon (factory reset)

  • Bersihkan telefon secara fizikal

  • Periksa kerosakan fizikal

  • Uji fungsi asas

  • Sertakan aksesori tambahan (jika ada)


Memilih Platform dan Penjual

Kini terdapat pelbagai cara untuk trade-in atau menjual telefon terpakai di Malaysia.

Kedai rasmi seperti Machines, Switch, dan Samsung Experience Store menyediakan sistem trade-in yang mudah dan cepat, di mana anda hanya perlu hadir bersama telefon lama dan dokumen pengenalan diri.

Bagi pengguna yang mahu lebih fleksibiliti, pengedar atas talian seperti CompAsia, Urban Republic, atau DirectD juga menawarkan sistem penilaian peranti secara atas talian.

Anda hanya perlu jawab soalan tentang keadaan telefon anda dan sistem mereka akan memberikan anggaran harga.

Selain itu, pusat servis dan telco utama seperti Celcom, Maxis dan U Mobile juga kadangkala menjalankan promosi trade-in eksklusif sempena pelancaran model baharu.


Cara Runding dan Dapat Harga Tinggi

Untuk memastikan anda tidak menerima tawaran rendah, penting untuk membuat perbandingan antara beberapa platform.

Laman seperti Machines dan Switch mempunyai kalkulator trade-in yang membolehkan anda menyemak nilai berdasarkan model dan keadaan semasa telefon anda.

Selain itu, boleh juga ambil peluang promosi, terutamanya semasa musim jualan atau pelancaran telefon baru sebab banyak jenama akan menawarkan bonus tambahan.

Semasa proses rundingan (jika anda menjual terus), nyatakan dengan jelas keadaan telefon anda, aksesori lengkap dan sebarang kelebihan seperti screen protector atau casing original yang masih elok.

Jika semua rundingan ini dapat dijalankan dengan baik dan potential buyer juga berpuas hati dengan cara anda, mungkin anda boleh dapatkan nilai jualan balik yang tinggi.


Dokumen dan Proses Serahan

Kebanyakan kedai memerlukan anda membawa kad pengenalan untuk tujuan dokumentasi.

Pastikan telefon diserahkan dalam keadaan bersih, mempunyai bateri sekurang-kurangnya 30% dan telah di-reset sepenuhnya.

Sesetengah platform mungkin memerlukan anda menandatangani borang pengesahan pemilikan sebelum transaksi disahkan.


Alternatif: Jual Terpakai di Marketplace

Jika anda mahu kawalan penuh terhadap harga dan proses jual beli, menjual di marketplace seperti Carousell dan Mudah.my adalah pilihan terbaik.

Ambil gambar jelas dari pelbagai sudut, nyatakan spesifikasi dan kondisi dengan jujur, dan sentiasa berhati-hati terhadap scammer.

Tips tambahan, pilih lokasi COD yang selamat seperti balai polis atau kawasan awam yang sibuk.


Kesimpulan dan Checklist Ringkas

Trade-in dan jual terus masing-masing ada kelebihan tersendiri.

Cara Trade-in sesuai untuk anda yang mahu proses mudah dan cepat, manakala jual terus lebih menguntungkan tetapi perlukan usaha lebih.

Dengan perancangan rapi dan persediaan teliti, anda boleh dapat nilai terbaik dari telefon lama anda.

Checklist:

  • Backup dan reset ke tetapan kilang

  • Bersihkan telefon & uji fungsi penting

  • Kumpul aksesori asal (kotak, kabel, pengecas)

  • Bandingkan tawaran trade-in vs jual terus

  • Semak promosi atau bonus trade-in

  • Sediakan kad pengenalan untuk proses serahan

Telefon lama anda mungkin sudah tidak digunakan lagi, tetapi dengan strategi betul, anda boleh dapatkan nilai terbaik jika mahu trade-in.

Kalau anda sendang cari telefon baru harga bajet, boleh terus baca di sini: 11 smartphone terbaik harga bawah RM1,500 tahun ini.

End of Article