Asus Zenbook S 14 merupakan sebuah komputer riba berprestasi tinggi dengan rekaan yang classy dan ringan—sesuai untuk anda yang sentiasa sibuk menguruskan kerja, dan sambil-sambil tu mahukan entertainment.

Dengan gabungan bergaya antara kuasa, ketahanan bateri, dan paparan yang memukau, ia merupakan pilihan yang mantap bagi sesiapa yang mahukan laptop serba boleh.

Penyunting
Hamka Rosli chevron_right
Table of Contents
Paparan OLED yang Nampak 'Hidup'
Salah satu ciri paling menonjol Zenbook S 14 ialah skrin OLED-nya yang terang dan vibrant.
Warna-warna yang dipaparkan begitu menyerlah, menjadikan laptop ini sesuai untuk menonton Netflix, menyunting gambar dan video, atau sekadar menikmati kandungan visual dengan jelas.

Skrin laptop ini juga menampilkan lapisan skrin hitam yang dalam dan kontras tinggi—sesuatu yang jarang didapati pada komputer riba dalam julat harga ini.
Jika anda sering lakukan kerja suntingan gambar atau video, anda pasti hargai kualiti paparan pada laptop ini dan setiap saat pasti diikuti dengan rasa takjub.
Memang 'Wow'.
Ketahanan Bateri Sepanjang Hari
Zenbook S 14 mampu bertahan sepanjang hari dengan penggunaan biasa seperti melayari web, menonton video, dan membuat tugasan pejabat.
Secara puratanya Zenbook S 14 ini boleh bertahan penggunaan selama 14 jam, memang cukup lama untuk dibawa ke pejabat dari pagi sehinggalah waktu balik.

Jadi, anda tidak perlu risau nak bawa pengecas ke mana-mana, sama ada ketika bekerja di kafe atau menghadiri mesyuarat.
Kalau pengecas tertinggal, tidak perlu cuak dan kelam-kabut kembali semula ke rumah semata-mata nak ambil semula pengecas laptop.
Rekaan Ringkas & Mudah Alih
Dari segi rekaan, Zenbook S 14 sangat ringan—sekitar 1.2kg sahaja—dan nipis, menjadikannya ideal untuk anda yang perlu bergerak atau travel atas urusan kerja.

Sama ada menaiki pengangkutan awam di KL atau dalam perjalanan ke luar daerah, komputer riba ini mudah dimuatkan ke dalam beg tanpa menambahkan beban.
Barulah tak sakit bahu!
Prestasi Dipacu Cip Intel Terbaru
Dikuasakan oleh cip Intel generasi terkini, prestasinya memang mantap.
Anda boleh lakukan pelbagai tugasan serentak, membuka dokumen berat, atau menjalankan aplikasi kreatif ringan seperti penyuntingan video tanpa sebarang masalah.
Kalau setakat capcut tu memang tiada masalah.
Cip baharu ini juga dilengkapi dengan keupayaan AI untuk mengoptimumkan kerja harian anda, menjadikan segalanya lebih lancar dan efisien.
Sesuai untuk Kerja & Hiburan
Dengan skrin 14 inci yang selesa untuk pelbagai tugasan dan masih kompak untuk dibawa ke mana-mana, Zenbook S 14 benar-benar direka untuk keseimbangan antara kerja dan hiburan.

Anda boleh membuka tabs kerja sambil menikmati tontonan berkualiti tinggi pada masa yang sama.
Apa yang Boleh Diperbaiki?
Walaupun hampir sempurna, terdapat beberapa aspek yang boleh dipertingkatkan.
Antaranya papan kekunci, walaupun responsif, mempunyai jarak perjalanan kekunci (key travel) yang agak pendek—mungkin kurang selesa untuk sesi menaip panjang.

Selain itu, ketika menjalankan tugasan berat, prestasi penggunaan bateri boleh menjadi kurang efisien.
Harga & Penilaian Keseluruhan
Dengan harga permulaan sekitar RM6,999, Zenbook S 14 terletak dalam kategori premium.
Namun, bagi anda yang menghargai rekaan ringan, prestasi hebat, dan paparan OLED berkualiti tinggi, ia merupakan pembelian yang berbaloi.
Secara keseluruhan, Asus Zenbook S 14 ialah komputer riba yang seimbang dari segi kuasa dan mobiliti—sesuai untuk pelajar, profesional, atau sesiapa sahaja yang memerlukan sebuah peranti serba boleh.
Jika anda sedang mencari laptop yang bergaya, berprestasi tinggi, dan mampu mengikut rentak kehidupan moden yang sibuk, Zenbook S 14 sememangnya wajar dipertimbangkan.
