Welcome Citizen!

Simpan sekarang, beli nanti. Kami akan memberitahumu jika harga turun!

Welcome Citizen!

Setup your account or continue reading!

Settings
dyson award 3

James Dyson Award 2024: Idea Tangani Pemanasan Global Diangkat Sebagai Pemenang

Pasukan pelajar kejuruteraan membawa perspektif baharu kepada masalah lama.

Dalam kehidupan seharian kita ini sebenarnya banyak cabaran dan juga masalah harian yang kita hadapi dan memerlukan penyelesaian untuk meningkatkan kualiti kehidupan.

Bagi menarik minat pencipta-pencipta seluruh dunia untuk turut serta secara aktif dalam mencari penyelesaian kepada masalah harian ini, Dyson menerusi James Dyson Award berjaya menyediakan sebuah platform bagi tujuan tersebut.

Bagi anda yang tidak tahu, James Dyson Award adalah sebuah acara yang mengiktiraf pencipta, pereka, dan jurutera muda yang mencipta teknologi baharu untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat, baik di peringkat serantau mahupun global.

Pada tahun ini, James Dyson Award telah mengumumkan pemenang bagi kategori kebangsaan jatuh kepada Brikoole, iaitu sebuah ciptaan revolusi yang bertujuan untuk mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Jom kita lihat pasukan di belakang inovasi ini.


Penyunting

Hamka Rosli chevron_right

Editor rasmi untuk ProductNation Bahasa Melayu. Mula aktif menulis sejak melangkahkan kaki ke menara gading, dan pernah bergelar w ...

Bermula Dari Kesedaran Terhadap Isu Perubahan Iklim Dan Peningkatan Suhu Global

Perubahan iklim menjadi kebimbangan utama bagi pasukan yang memenangi anugerah ini, dan apa yang membimbangkan Malaysia berada di tempat ketiga di dunia dalam pengeluaran karbon, dengan kadar purata tahunan sebanyak 4.7%.

Dari situ mereka mendapat idea menghasilkan sistem penyejukan pasif yang direka untuk disepadukan dalam struktur bangunan.

Mereka menggunakan aliran udara terkawal dan kaedah penyejukan penyejatan untuk mengurangkan suhu dalam bangunan tanpa menggunakan sumber tenaga luaran.

Inilah idea asas dan asal daripada pencipta muda Wayne Chong dan Nixon Ng, graduan Asia Pacific University of Technology and Innovation.

Menurut Nixon, motovasi utama di sebalik penghasilan Brikoole adalah daripada pemerhatian terhadap peningkatan penggunaan tenaga dan kesan alam sekitar daripada sistem penghawa dingin tradisional.

Selain itu, menurutnya peningkatan bil elektrik secara mendadak sehingga menjejaskan kewangan individu yang paling rapat dengannya juga membuatkannya mahu menjadikan projek ini berjaya.

Maka, dengan penggunaan Brikoole pada struktur-struktur bangunan, ia diharapkan dapat mengurangkan penggunaan penghawa dingin dalam bangunan dan sekali gus mengurangkan kesan pelepasan karbon.


Inspirasi Daripada Teknologi Zaman Purba

Brikoole diinspirasikan dari sistem pengudaraan semula jadi seperti sarang anai-anai, wind catchers, dan Salsabil fountains.

Reka bentuk yang seperti jaring ini sentiasa dibasahkan melalui sistem pengagihan air bersepadu dan apabila udara melalui persekitaran lembap ini, proses penyejatan berlaku, yang secara efektif menyejukkan udara.

Udara yang disejukkan ini kemudian disalurkan ke dalam bangunan, mewujudkan suasana yang nyaman dan selesa.

Menurut Wayne, bagi iklim tropika seperti di Malaysia ini, Brikoole boleh mengurangkan suhu sehingga 6.2 darjah Celsius, mencapai suhu 31 darjah Celsius yang selesa berbanding 37 darjah Celsius.

Jadi dengan itu, ia mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada penghawa dingin untuk menyejukkan persekitaran dalam bangunan.


Ciptaan Pemenang Runner-up Yang Hebat!

Dalam pada itu, tidak dilupakan juga pada pemenang runner-up yang turut berjaya menghasilkan alat atau ciptaan yang bermanfaat buat masyarakat.

Pemenang runner-up untuk edisi 2024 ini adalah milik NEAR Exergame dan juga Floodsack.

NEAR Exergame ialah sebuah peranti pemulihan yang menggabungkan senaman terapeutik dengan elemen permainan untuk menjadikan proses pemulihan pesakit strok lebih mudah dan menyeronokkan.

Alat ini akan memberi manfaat terutamanya kepada golongan kurang berkemampuan yang mempunyai sumber kewangan atau pilihan pengangkutan yang terhad.

Ia dicipta oleh pelajar-pelajar dari Universiti Sains Malaysia, iaitu: Alexander Tan Wai Teng, Wei Jim Tan, Yong Jie Wong, dan Ying Heng Yeo.

Menurut mereka, inspirasi untuk NEAR Exergame datang daripada pengalaman peribadi bersama ahli keluarga yang pernah mengalami strok.

Sementara itu, satu lagi pemenang runner-up adalah milik Floodsack, iaitu sebuah beg penyimpanan apungan yang direka untuk menghadapi banjir.

Banjir adalah bencana yang kerap berlaku dan tidak dapat dielakkan di Malaysia dan ia menyebabkan kerugian domestik bernilai jutaan Ringgit.

Daripada masalah itu, Floodsack dibangunkan untuk melindungi barangan berharga semasa banjir. Ia direka untuk kekal terapung di atas air banjir selama beberapa minggu.

Pasukan di sebalik inovasi ini berasal dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan terdiri daripada tujuh ahli; Tian You Lee, Chen Wee Eu, Yau Kin Hou, Chai Yuan Zheng, Ashraf Zhu An Bin Amir, Ian Ooi, dan Isaac Cheah Yung Tze.

Tahniah diucapkan kepada kesemua pemenang, dan Brikoole selaku pemenang peringkat kebangsaan berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM29,300.

Dalam masa yang sama, Brikoole turut layak untuk dipertimbangkan dalam senarai pendek oleh jurutera Dyson yang akan diumumkan pada 16 Oktober.

Dalam proses ini, para jurutera Dyson akan menilai dan mengurangkan bilangan pesaing kepada hanya 20 ciptaan, dan pemenang global akan dipilih oleh James Dyson pada 13 November.

Semoga berjaya buat pasukan Brikoole!

End of Article