Welcome Citizen!

Sign in to start sharing and discover the best products you can buy today!

Welcome Citizen!

Setup your account or continue reading!

Settings
nespresso vertuo pop

Nespresso Vertuo Pop — Ulasan Jujur Buat Peminat Kopi

Mesin kopi ni sekali pandang memang cantik, rasa kopinya pun beraroma.

Minuman kopi sudah menjadi minuman wajib pada pagi hari bagi kebanyakan orang, dan perkara ini menjadi kebiasaan buat warga kerja di Malaysia.

Ada juga yang kata “kalau tiada kopi, tak boleh mulakan kerja”, begitulah betapa pentingnya minuman kopi ini buat warga kerja.

Bagaimanapun, untuk mendapatkan secawan kopi yang sedap mungkin kita perlu pergi ke cafe, dan jika dikira kos setiap hari untuk mendapatkan secawan kopi mungkin agak mahal.

Namun kini, dengan kehadiran mesin-mesin kopi yang boleh dipasang dan digunakan di rumah atau pejabat, anda tidak perlu lagi beratur panjang di kedai kopi untuk mendapatkan secawan kopi.

Kali ini, kami akan kongsikan ulasan kami mengenai mesin kopi Nespresso Vertuo Pop dan bagaimana ia boleh menjadikan rutin minum kopi anda lebih mudah dan jimat.


Ulasan ProductNation

Penyunting

Hamka Rosli chevron_right

Editor rasmi untuk ProductNation Bahasa Melayu. Mula aktif menulis sejak melangkahkan kaki ke menara gading, dan pernah bergelar w ...

Ada Apa Dengan Nespresso Vertuo Pop?

Sekali pandang, mungkin mesin kopi Nespresso Vertuo Pop ini kelihatan seperti mesin kopi Nespresso yang biasa dengan warna yang cantik.

Tapi mesin kopi ini bukan sekadar mempunyai reka bentuk yang elegan dan moden, tetapi ia turut mempunyai sistem penghasilan kopi yang canggih dengan teknologi Centrifusion dan sistem pengecaman kapsul.

Anda mungkin tidak akan jumpa sistem yang canggih ini pada mana-mana mesin kopi di luar sana, di mana ia akan membaca kod bar unik pada kapsul dan membuat tetapan untuk menghasilkan satu cawan kopi yang sempurna.

Ia akan tetapkan dari segi isi padu dan aliran air, suhu, masa infusi dan putaran kapsul tanpa anda perlu membuat tetapan secara manual.

Semua ini hanya dengan menekan satu butang sahaja dan anda akan dapat rasa kopi yang konsisten setiap pagi. Mudah bukan?

Itu antara first impression kami mengenai mesin kopi ini, selain reka bentuknya yang cantik, kami juga teruja untuk test teknologi Centrifusion pada mesin ini.


Mesin Kopi Sesuai Di Rumah Dan Pejabat

Disebabkan saiznya yang kecil dan juga ringan untuk diangkat, ia mudah untuk diletakkan di mana-mana ruang.

Kami mencuba mesin Nespresso Vertuo Pop ini di pejabat, jadi proses pemasangannya memang mudah tanpa perlu melakukan setup yang rumit.

Sebaik keluar daripada kotak, mesin kopi ini terus boleh digunakan.

Kami meletakkan mesin ini pada kawasan berhampiran dengan plug point kerana wayar plug mesin ini agak pendek.

Untuk penghasilan kopi yang pertama kami mendapati mesin kopi ini tidak mengambil masa yang lama untuk menyiapkan secawan kopi espresso.

Lebih kurang dalam 60 saat sudah siap secawan espresso 40ml, lengkap dengan foam yang agak tebal.

Pada hirupan pertama, kami merasakan kopi ini mempunyai rasa typical kopi nescafe tetapi dengan rasa yang lebih beraroma.

Saiznya kecil, ringan dan mudah dipasang, jadi ia sesuai untuk digunakan di:

  • Rumah
  • Bilik kerja
  • Pejabat

Untuk anda yang bekerja di pejabat pula, anda hanya perlu capai satu cawan, pilih kapsul yang anda mahu, masukkan kapsul ke dalam mesin dan tekan butang power untuk menghasilkan kopi.

Semua ini dilakukan tanpa perlu melakukan tetapan manual dan juga tanpa menunggu masa yang lama.


Ciri-ciri Menarik Nespresso Vertuo Pop

Selain daripada teknologi canggih Centrifusion dan sistem pengecaman kapsul, mesin kopi ini juga boleh disambungkan pada Bluetooth dan WiFi.

Tapi jangan salah faham, sambungan Bluetooth dan WiFi pada mesin kopi Nespresso Vertuo Pop ini adalah untuk anda dapatkan pengalaman Nespresso terkini dan juga untuk machine assistance jika terdapat sebarang kerosakan.

Seperti yang kami nyatakan, mesin kopi ini amat mudah digunakan dengan hanya menekan satu butang sahaja anda sudah boleh hasilkan secawan kopi yang sedap.

Untuk saiz cawan pula, mesin kopi Nespresso Vertuo Pop ini boleh hasilkan empat saiz cawan yang berbeza:-

  • Mug: 230 ml, satu mug kopi boleh dipadankan dengan susu segar.
  • Gran Lungo: 150 ml, sesuai untuk kopi long black.
  • Double Espresso: 80 ml, double-shot-espresso yang pantas.
  • Espresso: 40 ml, secawan espresso klasik.

Bagaimanapun, untuk hasilkan kopi bersaiz mug atau lebih besar dari itu, anda perlu menanggalkan bahagian penapis air di bawah cawan kerana ruang meletakkan cawannya agak kecil.

Jadi boleh dikatakan mesin kopi ini lebih sesuai untuk cawan bersaiz kecil, atau untuk anda yang mahukan minuman kopi yang padat dengan rasa kopi.

Masa yang diambil untuk hasilkan kopi bersaiz Gran Lungo dan Mug memerlukan masa yang lebih lama sedikit (lebih kurang 2 minit) berbanding Double Espresso dan Espresso.

Selain itu, mesin ini juga mempunyai power saving mode, ia akan mati dengan sendirinya selepas 2 minit tidak digunakan.


Reka Bentuk

Mesin kopi Nespresso Vertuo Pop ini mempunyai dimensi sebesar 136 X 426 X 250 mm dengan berat sebanyak 3.5 kg.

Ia hadir bersama dengan tangki air yang boleh menampung air sebanyak 560 ml, dan juga ruang pembuangan kapsul yang boleh memuatkan 8 kapsul espresso atau 5 kapsul espresso mug.

Bagi kami, ruang tangki air agak kecil, jadi kami perlu mengisi semula air dengan agak kerap, begitu juga dengan ruang pembuangan kapsul yang memerlukan kami membuang sisa kapsul dengan kerap.

Panjang kabel plug pula adalah sebanyak 75 cm, tidak terlalu panjang dan tidak terlalu pendek, jadi kami sarankan untuk letak berhampiran dengan plug point.

Warna mesin kopi Nespresso Vertuo Pop yang kami gunakan adalah warna Mango Yellow, nampak cute dan elegan di ruangan pejabat kami.

Bagaimanapun, anda boleh memilih antara warna lain iaitu; Coconut White, Spicy Red, Aqua Mint, Liquorice Black, Pacific Blue, atau Mango Yellow seperti yang kami gunakan ini.


Ulasan Jujur

Kami merasakan mesin kopi ini dapat memudahkan proses membuat kopi di pejabat kami kerana sebelum ini kami banyak menggunakan kopi 3 dalam 1.

Rasa kopi juga lebih segar dan seakan-akan dapat minum secawan kopi dari Cafe tanpa perlu berbelanja lebih.

Paling kami suka adalah foam yang dihasilkan betul-betul tebal yang mana biasanya perlu ke kedai kopi untuk dapatkan hasil foam yang sama.

Bagaimanapun, disebabkan saiznya agak kompak, termasuk bahagian tangki air dan ruang pembuangan kapsul, jadi kami perlu mengisi semula air dan menyelia ruang pembuangan kapsul dengan kerap.

Secara jujurnya, ia satu pengalaman yang menarik apabila pada setiap pagi kami dapat nikmati rasa kopi yang konsisten tanpa perlu belajar cara membuat kopi.

Kalau dapat diberikan skala markah, mesin kopi Nespresso Vertuo Pop ini akan mendapat markah 7/10 secara keseluruhan.

From
RM899.00
Check Nespresso Vertuo Pop [Mango Yellow] price below:
add_circle Teknologi Centrifusion yang canggih
add_circle Mempunyai fungsi penjimatan tenaga
add_circle Saiz kompak dan ringan
add_circle Mudah digunakan dengan hanya 1 butang
remove_circle Tangki air kecil (560 ml)
remove_circle Tidak sesuai untuk cawan besar
Nespresso Vertuo Pop merupakan satu mesin kopi yang sangat mudah digunakan, dan ia juga mempunyai teknologi yang akan memastikan setiap kopi dihasilkan secara konsisten. Rasa kopi yang konsisten dan tanpa perlu mempelajari tentang cara pembikinan kopi itu sudah cukup menjadi selling point untuk mesin kopi ini. Walaupun ia mempunyai saiz tangki air dan ruang pembuangan kapsul yang kecil, untuk kegunaan di rumah atau pejabat ia masih lagi menjadi sebuah mesin kopi yang memudahkan.
End of Article